Almost done!! Inter masih lagi mampu untuk bergelar juara liga buat kali keempat berturut-turut sekali lagi sekiranya 3 baki perlawanannya dimenanginya. 3 lawannya selepas ini, AS ROMA, REAL MADRID dan AC MILAN. Ketiga-tiga pasukan ini telah tewas pada perlawanan pertama mereka(AS ROMA 8-2, REAL MADRID 2-1 dan AC MILAN 1-0). Faisal Hanger hanya mampu berdoa ketiga-tiga pasukan ini mampu mengalahkan Inter untuk bergelar juara liga buat kali pertama.
Winning Eleven World Cup akan kembali lagi selepas semua perlawanan WEL tamat. Format perlawanan sama seperti sebelumnya iaitu, semua pengurus akan melakukan cabutan undi untuk memilih pasukan yang bakal dibimbingnya kelak. Terdapat 14 pasukan kesemuanya dan pemilhan pasukan ini dibuat berdasarkan ranking FIFA yang terkini. Boleh rujuk di sini.
10 pasukan teratas berebut tempat. Arsenal dan Inter masing-masing cuba menjadi juara liga. Milan, Man U, Chelsea dan Spurs berebut tempat ketiga. Manakala Liverpool, Man City dan Newcastle cuba mendapat tempat dalam Liga Super untuk musim depan. Kerana format liga akan ditukar pada musim depan. 7 pasukan akan bermain untuk Liga Super manakala 7 lagi pasukan akan bermain untuk Liga Premier. 3 pasukan terbawah Liga Super akan turun ke Liga Premier untuk musim depannya manakala 3 pasukan teratas Liga Premier akan naik ke Liga Super untuk musim depannya. Format WE Cup tidak berubah. Semua pasukan akan cabut undi seperti biasa.
Arsenal bertandang ke Nou Camp dengan misi membalas dendam atas kekalahan terdahulu kepada Barcelona yang telah mencalarkan rekod tanpa kalah Arsenal. Hujan turun renyai-renyai memberi kelebihan kepada Barca kerana bermain di gelanggang sendiri. Arsenal sukar menemui rentak apabila semua serangan mudah dipatahkan oleh pertahanan Barca. Henry terlebih dulu membuka jaringan untuk Barca setelah memperdayakan Eboue sebelum merembat leret menewaskan Almunia yang cuba menepis bola jauh dari jangkauannya. Barca yang lebih bersemangat dengan jaringan tersebut, menambah lagi gol keduanya dan kali ini menerusi Samuel Eto'o. Gol bermula dari sepakan penjuru yang diambil Messi melepasi 3 pertahanan Arsenal dan hinggap betul-betul di kaki Eto'o dan dengan mudah menolak masuk untuk gol kedua Barca. Arsenal cuba bangkit namun keputusan kekal sehingga separuh masa pertama. Separuh masa kedua, tiada perubahan yang dilakukan Faisal Wenger untuk berhadapan dengan Barca. F.Wenger masih percayakan pada skuad mudanya. The Gunners berjaya merapatkan jurang gol menerusi pemain sayap England, Theo Walcott yang menggelecek meninggalkan bek kiri Barca dan masuk ke dalam kawasan petak penalti sebelum merembat kencang menewaskan Victor Valdes. Arsenal yang bersemangat dengan jaringan itu, terus mengasak kubu lawan dan berjaya memperolehi gol penyamaan jaringan Cesc Fabregas yang mengambil kesempatan dari kesilapan pertahanan Barca. Arsenal akhirnya berjaya mendahului apabila Walcott berjaya melepasi perangkap offside Barca dan berhadapan satu lawan satu dengan Valdes. Walcott tidak mensia-siakan peluang itu untuk meletakkan Arsenal dihadapan. Sedang Barca tercari-cari gol penyamaan, Adebayor menggunakan kelebihan ketinggiannya menanduk masuk gol keempat Arsenal hantaran lintang Samir Nasri walaupun dicabar di situ oleh Puyol. Beberapa minit sebelum wisel penamat, Arsenal menyumbat satu lagi gol menerusi sepakan penjuru yang di ambil oleh walcott ditanduk kemas oleh Abou Diaby menewaskan Valdes. Penyokong Barca seperti tidak percaya mereka tewas setelah mendahului 2-0. Keputusan penuh, Arsenal menang 5-2 ke atas Barcelona.
Pertembungan antara Chelsea dan Newcastle United sememangnya dinantikan oleh semua peminat WEC. Chelsea juara musim lalu, berjaya ke pusingan akhir untuk pertahankan kejuaraannya manakala Newcastle United yang pertama kali layak ke pusingan akhir WEC cuba mencipta sejarah memenangi Piala WE setelah berjaya menewaskan Manchester United dengan aggregat 6-2 pada separuh akhir. Ikhmal Sukalari menggunakan formasi 3-5-2 manakala Krisis Sairel menggunakan formasi 4-4-2. Separh masa pertama bermula dengan baik bagi Chelsea apabila mereka mendapat gol pertamanya seawal minit ke-7 berpunca dari kecuaian pertahanan Newcastle dan Didier Drogba menghukum kesilapan itu. The Magpies lebih berhati-hati selepas itu, banyak percubaan dan serangan dilakukan Newcastle. Damien Duff hampir menjaringkan gol pada minit ke-15 namun berjaya ditepis keluar oleh Petr Cech. Kemudian Butt pula melakukan percubaan dari jarak 23 meter namun sedikit tersasar. Newcastle akhirnya mendapat gol penyamaan pada minit ke-19 jaringan Mark Viduka yang menanduk masuk hantaran Butt. Barton hampir meletakkan Newcastle dihadapan apabila percubaannya dari jarak 20 meter melewati palang gol. Chelsea yang meletakkan Drogba dan Anelka dihadapan gagal menembusi pertahanan Newcastle. Newcastle menggandakan asakan dan Duff yang menerima lorongan dari Gutierrez dari sebelah kiri pintu meledak kencang menewaskan Cech pada minit ke-31. Owen pula hampir menambah derita Chelsea apabila percubaannya diselamatkan oleh Petr Cech sedang semua penonton sudah bangun untuk meraikan jaringan itu. Namun kehebatan Cech menyelamatkan Chelsea. Chelsea cuba menimbangi permainan dan percubaan tanduk dari Anelka gagal menemui sasaran. Sekali lagi Anelka merembat dari sudut sukar tapi ditepis keluar oleh Shay Given. Separuh masa pertama tamat dengan Newcastle mendahului Chelsea 2-1. Separuh masa kedua Chelsea nampak memahami dan membaca rentak permainan Newcastle dan giliran mereka menyerang balas ke kubu Newcastle. Kubu Newcastle akhirnya bolos juga pada minit ke-73 menerusi gelecekkan Deco yang masuk ke kawasan kotak penalti dan membuat set-piece yang cantik kepada Lampard. Dengan peluang yang terhidang di depan mata, Lampard meledakkan gol penyamaan untuk Chelsea. Sedang penonton berkira-kira perlawanan ini akan berlanjutan hingga ke masa tambahan, Chelsea berjaya mendahului sekali lagi pada minit ke-80 menerusi Anelka yang merembat kencang dari jarak 25 meter menewaskan Given. Newcastle cuba bangkit pada minit-minit akhir dan hampir berjaya menyamakan kedudukan namun tandukan kencang Viduka ditangkap kemas oleh Cech. Wisel penamat telah dibunyikan dan CHELSEA sekali lagi menjadi juara WEC untuk musim ini. Kemenangan kedua berturut-turut Chelsea. Nikolas Anelka telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Pertama kali dalam sejarah WEC, pasukan bawahan layak ke pusingan Akhir Piala WE (WEC) setelah menewaskan gergasi bola sepak dengan teruk. Newcastle United yang kini menduduki tangga ke 9 dari 14 pasukan yang bertanding dalam Liga WE, mengejutkan Manchester United yang berada dalam kelompok TOP 4 dengan aggregat 6-2. Manchester yang bertandang ke St. James' Park hanya berjaya memperolehi 1 gol pada awal minit ke 3, kesilapan Cacapa yang cuba memberi bola kepada rakannya tapi Tevez memintasnya untuk gol pertama Man U. Newcastle United tidak patah semangat dengan gol awal itu malah menggandakan asakan ke kubu Man U dan gol penyamaan yang dicari muncul pada separuh masa kedua jaringan Owen yang menggelecek masuk ke kawasan penalti menewaskan 2 pertahanan Man U merembat masuk ke gawang Man U. Perlawanan kedua seharusnya menjadi milik Man U kerana mereka bermain di tempat sendiri. The Magpies terlebih dulu menjaringkan gol jaringan Viduka yang menerima hantaran lintang dari Duff. Gol kedua muncul hasil jaringan Zogbia yang merembat kencang dari luar petak penalti. Man U cuba merapatkan jurang dengan gol pertamanya menerusi Tevez yang menyambar bola percubaan Rooney yang ditepis oleh Given. Newcastle United tidak terus bertahan malah tidak memberi ruang dan peluang kepada Man U untuk menyerang balas apabila 3 lagi gol menyusul sehingga ke wisel penamat. Newcastle menang 5-1. Aggregat 6-2. Kekalahan paling teruk Man U untuk musim ini. Damien Duff di tabalkan sebagai pemain terbaik perlawanan kerana banyak hantaran dan peluang dihasilkan olehnya. Newcastle United menunggu kunjungan sama ada Barcelona atau Chelsea.